ROSLAN Zakaria, 55 (kanan) bersama  isterinya dan sebahagian 10 anaknya berada di hadapan rumah sewanya yang uzur di Kampung Chenderong Batu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ROSLAN Zakaria, 55 (kanan) bersama isterinya dan sebahagian 10 anaknya berada di hadapan rumah sewanya yang uzur di Kampung Chenderong Batu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


KEMISKINAN suami isteri bersama 10 anak di Kampung Chenderong Batu di Tumpat, semakin menghimpit sehingga menyebabkan anaknya terjejas untuk melanjutkan pelajaran.

Roslan Zakaria, 55, yang memperoleh sumber pendapatan sebagai tukang urut dan pencari akar kayu, buntu memikirkan bagaimana lagi cara untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan sembilan anaknya yang masih bersekolah.

Anak sulungnya, Mohd Nazirul Hakim, 20, terpaksa menangguhkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di Pusat GiatMARA Tumpat Ahad lalu kerana kesempitan hidup.

Roslan berkata, anak keduanya pula, Siti Nor Rushainie, 18, terpaksa melepaskan peluang melanjutkan pengajian ke Matrikulasi berikutan kekangan kewangan dan memilih Kolej Komuniti Pasir Mas sebagai pilihan kedua.

“Dua anak lagi yang akan memperoleh keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Disember ini mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana yuran kecemerlangan sekolah masing-masing belum dilunaskan.

“Begitu juga anak ketiga yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mana yuran kecemerlangan sekolahnya sebanyak RM150 tidak mampu lagi dibayar dan biarpun semua bayaran itu tidak banyak tapi apabila dikumpulkan, ia menjadi jumlah yang besar buat kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tumpat.

Menurutnya, anaknya tidak membawa wang saku ke sekolah sebaliknya hanya dibekalkan nasi berlauk berharga RM2 yang dibeli dalam perjalanan ke sekolah.

“Setiap anak hanya memiliki sepasang pakaian sekolah yang akan terus dipakai biarpun lusuh dan koyak,” katanya.

Roslan berkata, dia juga perlu membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan serta membeli dua gelen air bersih setiap hari untuk memasak dengan kos sebanyak RM5.

“Di rumah, kami bergantung dengan sumber air dari perigi yang dipam menggunakan enjin yang digunakan untuk mandi dan membasuh sahaja,” katanya

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan di akaun Maybank 153104228464 milik Muhammad Nazirul Hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 10:11 AM