MAZLAN Bujang. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
MAZLAN Bujang. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Ibrahim Isa


PEMBINAAN jambatan bengkok bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan tiga pelabuhan di Johor, malah menyelamatkan nyawa pengguna Lebuhraya Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, disebabkan Pelabuhan Johor (Pasir Gudang), Pelabuhan Tanjung Langsat (Pasir Gudang) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah tidak boleh dihubungi melalui laut, ketika ini pelbagai syarikat terpaksa menggunakan lori kontena untuk ke pelabuhan berkenaan.

“Keadaan itu menyebabkan kebanjiran lori kontena di Lebuhraya Pasir Gudang hingga lebuh raya itu sering rosak.

“Berikutan itu kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM2 juta setahun untuk membaiki segala kerosakan berjumlah RM6.8 juta dari 2013 hingga tahun ini.

“Pada masa sama, kerosakan lebuh raya itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kerap mengakibatkan penunggang motosikal maut akibat kemalangan,” katanya kepada NSTP di Johor Bahru, hari ini.

Selain itu, Mazlan berkata, aliran air dihalang Tambak Johor menyebabkan kerajaan pusat terpaksa membelanjakan RM200 juta setahun untuk mendalamkan pengaliran air bagi membolehkan kapal besar berlabuh di PTP.

Katanya, jika jambatan bengkok dibina ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan aliran di pelabuhan dan kapal boleh berlabuh menggunakan alur air semulajadi.

“Ini semua belum lagi mengambil kira kos penyelenggaraan aliran air di Tambak Johor. Berikutan itu, kerajaan negeri berharap jambatan bengkok akan dibina untuk menjimatkan perbelanjaan dan paling penting, keselamatan pengguna Lebuhraya Pasir Gudang dan kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, pembinaan Lapangan Terbang Mersing bakal merancakkan ekonomi daerah itu selain menawarkan lebih 10,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata, pembinaan Lapangan Terbang Mersing akan memudahkan pelancong tempatan terutama dari Kuala Lumpur dan luar negara seperti Singapura ke daerah itu.

“Kami bercadang menawarkan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan tambang murah dan ia akan memudahkan pelancong ke destinasi pelancongan terutama pulau di Mersing.

“Selain itu, ia boleh dijadikan bandar pelancong hujung minggu apabila penduduk dari Kuala Lumpur atau negeri lain membeli rumah dan berehat bersama keluarga setiap hujung minggu seperti di Gold Coast, Australia.

“Dengan cara ini, ia bukan sahaja bakal merancakkan sektor pelancongan, malah hartanah dan ekonomi setempat kerana penduduk boleh menawarkan pelbagai keperluan pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kerajaan akan membangunkan pusat selenggara dan parkir pesawat peribadi seperti ditawarkan di Subang Skypark.

Katanya, kedudukan Johor bersebelahan Singapura yang mempunyai ramai pemilik pesawat persendirian menjadi antara satu kelebihan besar kepada negeri ini.

“Kami yakin perkhidmatan ini dapat menarik minat pemilik pesawat persendirian menggunakannya dan bukan sekadar menempatkan pesawat, malah menyewa rumah untuk juruterbang dan pasukan mereka sendiri.

“Pada masa sama, ia akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata, Mersing mempunyai tanah luas dan kawasan selenggara atau parkir pesawat boleh diperluaskan mengikut keperluan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan bercadang menubuhkan Akademi Juruterbang berhampiran lapangan terbang Mersing bagi melahirkan juruterbang tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 10:14 PM