Mohd Khidir Zakaria


GANGGUAN bekalan air yang menjejaskan Port Dickson serta sebahagian Seremban dan Rantau akibat tebing runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, dijangka pulih sepenuhnya esok.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, sejumlah 34,000 kediaman di Port Dickson dan 8,000 di Seremban serta Rantau menghadapi masalah bekalan air sejak tebing di empangan LRA Sungai Linggi runtuh Khamis lalu.

“Sejak itu kita sudah mulakan kerja-kerja pembaikan tebing yang runtuh tetapi kerana hujan berterusan dan arus yang kuat, akhirnya ia runtuh semula.

“Hasil perbincangan dengan beberapa pihak seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkaitan, persetujuan dicapai untuk menggunakan tiga juta tan batu besar bagi menguatkan tebing tidak mudah runtuh,” katanya dalam sidang media ketika membuat lawatan di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional, Choo Ken Hwa.

Aminudin berkata, kerajaan negeri berharap kaedah itu berjaya kerana masalah cuaca yang tidak menentu terutama hujan di sebelah petang.

Katanya, penduduk diharap bersabar kerana pihak berkenaan sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah dan dalam masa sama bekalan air secara percuma diteruskan dengan menggunakan lori tangki.

“Secara keseluruhan sebanyak 108 buah lori digunakan untuk menghantar bekalan air di kawasan yang terbabit termasuk bantuan dari beberapa syarikat air negeri jiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:16 PM