AZHAN (tengah) menunjukkan motosikal dan sport rim  yang dirampas. FOTO Farid Noh
AZHAN (tengah) menunjukkan motosikal dan sport rim yang dirampas. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh


ENAM sekawan termasuk remaja perempuan yang aktif mencuri rim aloi (sport rim) motosikal Honda Dash di Batu Pahat ditahan polis, kelmarin.

Kesemua suspek yang berusia antara 16 sehingga 37 tahun itu ditahan dalam beberapa tangkapan yang dibuat sejak minggu lalu hingga kelmarin, hasil risikan polis dan makluman awam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, enam suspek berkenaan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut.

Katanya, enam sekawan termasuk remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah itu aktif mencuri rim aloi motosikal Honda Dash sejak sebulan lalu.

"Modus operandi kumpulan ini menyasarkan untuk mencuri rim aloi atau sport rim motosikal Honda Dash yang diletakkan di hadapan rumah mangsa terutama pada waktu malam.

"Sport rim Honda Dash yang dicuri kemudian diiklankan serta dijual menerusi media sosial dan Internet bagi menarik pembeli.

"Hasil siasatan lanjut, polis berjaya merampas empat sport rim Honda Dash yang dalam proses untuk dijual kepada pembeli berminat selain peralatan untuk menanggalkan rim aloi dicuri" katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Azhan berkata, kesemua suspek disiasat di bawak Seksyen 379A kerana mencuri komponen motosikal yang membawa hukumab penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam kes berasingan, empat lagi suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun ditahan minggu lalu kerana mencuri motosikal pelbagai jenama.

Katanya, polis turut berjaya merampas tujuh motosikal pelbagai jenama dan dua rangka motosikal.

"Siasatan mendapatu suspek berkenaan sebelum ini juga mempunyai rekod kesalahan lampau dan kesemua mereka kini direman tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 379A kerana mencuri motosikal, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 6:52 PM