GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Khalid Latip


KESERONOKAN dua sahabat mandi di pantai Kampung Gerigat di Saratok, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, tengah hari semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa Norul Sariyan Mohamad Brayan, 10, lemas selepas dihanyutkan arus deras.

Rakannya yang juga berusia 10 tahun berjaya diselamatkan oleh seorang nelayan yang kebetulan melalui kawasan kejadian.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, dua kanak-kanak terbabit pergi ke pantai kampung berkenaan untuk mandi.

“Bagaimanapun, ketika sedang mereka seronok mandi, arus deras datang menyebabkan mereka terperangkap.

“Kebetulan ketika itu seorang nelayan melalui kawasan itu dan ternampak seorang kanak-kanak melambai dan menjerit meminta tolong. Nelayan itu segera menyelamatkan kanak-kanak terbabit, namun seorang lagi iaitu Norul Sariyan gagal diselamatkan,” katanya.

Sumber itu berkata, Norul Sariyan dilihat terapung berdekatan tebing pantai itu tidak lama kemudian, namun dia sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, laporan kejadian itu dibuat oleh bapa mangsa di Balai Polis Saratok, petang semalam..

“Jenazah mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Nyabor dan seterusnya dirujuk ke Hospital Daerah Saratok sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gerigat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 12:58 PM