LELAKI ditemui mati selepas hilang ketika memikat burung dan ayam hutan di Sungai Siput, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
LELAKI ditemui mati selepas hilang ketika memikat burung dan ayam hutan di Sungai Siput, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Farah Suhaidah Othman


LELAKI warga emas ditemui mati selepas hilang ketika memikat burung dan ayam hutan di ladang kelapa sawit Kampung Jaya Setia, Sungai Siput, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa Ho Yow Sun, 69, ditemui dalam keadaan terbaring dalam ladang berkenaan oleh beberapa anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Rozeni Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan mangsa berusia 73 tahun memaklumkan kehilangan Yow Sun.

Katanya, laporan polis yang dibuat mengatakan pengadu bersama anak saudaranya dan mangsa memasuki ladang berkenaan untuk mencari burung dan ayam hutan, jam 9 pagi semalam.

“Bagaimanapun, ketika berada dalam hutan berkenaan, ketiga-tiganya berpecah dan berpakat berkumpul semula di tempat letak motosikal dekat ladang berkenaan, jam 1 tengah hari.

“Pada jam 12.30 tengah hari semalam, pengadu dan anak saudaranya kembali ke lokasi dijanjikan, namun kelibat mangsa tidak kelihatan, namun motosikalnya berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozeni berkata, kedua-dua lelaki berkenaan mencari mangsa di kawasan sekitar selama empat jam, namun gagal.

Menurutnya, telefon bimbit mangsa berjaya dihubungi, tetapi tidak berjawab.

Berikutan itu, katanya, lelaki terbabit dan anak saudaranya membuat laporan kehilangan di Balai Polis Simpang Jalong bagi memohon bantuan untuk mengesan mangsa.

“Operasi SAR membabitkan anggota polis, bomba dan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) serta penduduk kampung dijalankan sejak semalam, namun mangsa gagal ditemui,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun ditemui dalam keadaan terlentang di tanah kira-kira 500 meter dari kawasan motosikalnya, sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan proses itu masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput Jeffrey Abdullah berkata, operasi SAR terpaksa ditangguhkan tengah malam semalam berikutan terdapat binatang buas di kawasan berkenaan.

“Operasi pencarian diteruskan pada jam 8 pagi tadi dan mangsa berjaya ditemui penduduk kampung sebelum disahkan meninggal dunia.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari ladang kelapa sawit itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 6:49 PM