SALAH sebuah kapal selam jenis Scorpene yang dibeli kerajaan Malaysia. FOTO Arkib NSTP
SALAH sebuah kapal selam jenis Scorpene yang dibeli kerajaan Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia bernilai RM4.67 bilion.

Sumber memberitahu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pagi hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes itu.

Menurutnya, beberapa individu lain dijangka dipanggil bagi membantu siasatan termasuk penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang dikatakan terbabit dalam urusan niaga pembelian kapal selam itu.

Pagi tadi, Najib hadir ke SPRM dan memberi keterangan selama hampir empat jam.

Kenderaan membawa beliau tiba jam 9.23 pagi dan dilihat meninggalkan perkarangan bangunan SPRM, jam 1.15 tengah hari.

Pembelian dua kapal selam Perancis itu dilakukan pada 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir STG1 bilion (AS$1.17 bilion).

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche memaklumkan Badan Kehakiman Perancis melakukan siasatan terhadap dakwaan skandal pembelian kapal selam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 4:48 PM