ANGGOTA APM melakukan pemantauan bagi membantu mangsa banjir di Lunas, Kulim, malam semalam. FOTO Ihsan APM Kulim/Bandar Baharu
ANGGOTA APM melakukan pemantauan bagi membantu mangsa banjir di Lunas, Kulim, malam semalam. FOTO Ihsan APM Kulim/Bandar Baharu
Muhammad Mustakim Ramli


LIMA keluarga membabitkan 21 penduduk dari dua kampung di Lunas, Kulim terjejas dalam kejadian banjir kilat, malam semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim/ Bandar Baharu berkata, hujan lebat sejak petang menyebabkan Kampung Bukit Sarang Ayam dan Kampung Sungai Seluang dinaiki air.

“Kita menerima panggilan kecemasan, jam 10 malam selepas kedua-dua kampung ini khususnya kawasan berdekatan sungai dinaiki air setinggi 0.5 meter.

“Lima sekeluarga membabitkan 21 mangsa iaitu masing-masing empat keluarga dari Kampung Bukit Sarang Ayam dan satu keluarga di Sungai Seluang terjejas dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kawasan berkenaan kerap berlaku banjir kilat sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama.

“Kawasan sungai yang tidak terjaga dan sistem perparitan tersumbat menyebabkan berlakunya banjir kilat.

“Situasi terkini dalam keadaan terkawal kerana air mulai surut. Cuma dalam keadaan musim hujan ketika ini, kita khuatir kawasan ini akan dilanda banjir kilat lagi,” katanya.

Difahamkan, semua mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Sungai Seluang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:00 AM