Mohd Rizal Abdullah


DIPENGGAL kepala sekiranya ada lelaki lain. Itu igauan ngeri wanita yang diugut oleh bekas kekasihnya di restoran di Jalan Nort Yu Seng, Miri, petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, mangsa berusia 20 tahun menerima ugutan berkenaan yang ditulis di atas kertas.

Menurut sumber, mangsa yang bertugas sebagai juruwang di restoran itu terkejut apabila melihat nota berkenaan yang diletakkan di bawah mesin pengira wang.

Sumber itu berkata, nota itu mengandungi kata-kata ancaman kepada mangsa sehingga menimbulkan ketakutan.

“Suspek menulis akan memenggal kepala mangsa bersama keluarganya sekiranya mangsa mempunyai teman lelaki lain.

“Mangsa mengetahui nota itu ditulis suspek kerana mangsa mengenali tulisan suspek,” katanya.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri pada petang kelmarin.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan laporan itu dan suspek berusia lingkungan 20-an itu sudah ditahan polis untuk siasatan lanjut kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 4:14 PM