MUHAMMAD Nazri (duduk kiri) dan Nur Syahirah (duduk kanan) diraikan rakan sekelas serta Sahilah (kanan) selepas menerima Anugerah Perdana Kehadiran Penuh di SMK Pokok Sena 2, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
MUHAMMAD Nazri (duduk kiri) dan Nur Syahirah (duduk kanan) diraikan rakan sekelas serta Sahilah (kanan) selepas menerima Anugerah Perdana Kehadiran Penuh di SMK Pokok Sena 2, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“SEPANJANG lima tahun bersekolah di sini, tak pernah sehari pun ponteng sekolah dan walaupun demam, saya tetap akan datang kerana tak mahu tercicir dalam pelajaran.”

Begitu kata penerima Anugerah Perdana Kehadiran Penuh, Muhammad Nazri Mohamad Zainol, 17, yang menjadi lebih bersemangat bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), esok.

Selain Muhammad Nazri, rakannya, Nur Syahirah Ahmad Tajudin, 17, turut terpilih memperoleh anugerah itu yang julung kali diadakan.

Selain sijil penghargaan, mereka turut menerima telefon bimbit pemberian khas daripada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena 2, Alor Setar dalam satu majlis ringkas, hari ini.

Muhammad Nazri yang juga anak tunggal kepada pengawal keselamatan di sekolah di Alor Setar, berkata, pelajaran amat penting dalam hidupnya untuk membalas jasa ibu bapanya yang kurang berkemampuan.

“Saya berusaha bangun awal setiap pagi untuk ke sekolah dan ibu bapa banyak memberi semangat untuk sentiasa ke sekolah.

“Saya amat berterima kasih kepada semua guru dan pengetua sekolah ini kerana memilih saya memenangi anugerah ini dan berhasrat untuk lulus cemerlang dalam SPM nanti,” katanya.

Nur Syahirah pula berkata, dia tidak menganggap semua guru di sekolah itu sebagai cikgu, tetapi menganggap mereka sebagai ibu sendiri dan mudah didekati.

Katanya, apabila minat dalam pelajaran, sudah tentu dia minat ke sekolah dan mendorongnya tidak ponteng walaupun ada kalanya dalam keadaan kurang sihat.

Sementara itu, Pengetua SMK Pokok Sena 2, Sahilah Ahmad berkata, anugerah bertujuan memberi suntikan semangat kepada semua pelajar di sekolah itu supaya hadir ke sekolah setiap hari.

Beliau berkata, pihak sekolah turut menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk bidang kemahiran untuk menarik minat pelajar datang ke sekolah.

“Kami akan meneruskan anugerah ini setiap tahun dan kalau boleh setiap bulan supaya dapat memberi semangat kepada pelajar di sekolah ini dan tidak terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

“Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) turut memaklumkan mengenai anugerah ini sejak awal tahun supaya pelajar tidak ponteng sepanjang tamat sesi persekolahan hujung tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 9:46 PM