LOKASI kemalangan di Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang. FOTO ihsan pembaca
LOKASI kemalangan di Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang. FOTO ihsan pembaca
Safuri Kamarudin

PENUNGGANG motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta di Kilometer 4.5 Jalan Kuala Ketil-Parit Panjang, berdekatan Kampung Tembak B, malam tadi.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, mangsa, Mohd Rifaie Yahaya, 33, dari Kampung Banggol Serdang, Tembak B, Kuala Ketil maut di tempat kejadian selepas parah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Kuala Ketil menuju Parit Panjang

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta dari arah hadapan.

"Akibat pertembungan itu mangsa jatuh ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta, Mohamad Fauzi Puteh,40, dari Kampung Tembak A, Kuala Ketil tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim(HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 12:24 AM