Loew Kwee Hoon,50 menunjukan ijazah mendiang suaminya, Lee Ghim Teck, 52 yang sepatutnya diraikan di majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-61 hari ini meninggal dunia pada 16 Ogos lalu. Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Loew Kwee Hoon,50 menunjukan ijazah mendiang suaminya, Lee Ghim Teck, 52 yang sepatutnya diraikan di majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-61 hari ini meninggal dunia pada 16 Ogos lalu. Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Mary Victoria Dass

“SEHINGGA akhir hayat, mendiang suami tidak berhenti menuntut ilmu dan antara impiannya adalah bagi memiliki Doktor Falsafah (PhD),” kata Leow Kwee Hoon, 50.

Leow berkata, mendiang suaminya, Lee Ghim Teck, 52, yang sepatutnya diraikan di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-61, hari ini meninggal dunia, 16 Ogos lalu akibat serangan jantung.

Menurutnya, dia serta tiga cahaya mata berusia antara 13 hingga 20 tahun menjadi antara wakil mendiang suaminya di majlis konvokesyen berkenaan.

"Walaupun dia sudah tiada, kami bangga dengan pencapaiannya.

"Ia berikutan biarpun menjadi anak kepada penoreh getah di sebuah ladang di Kelantan, suami berjaya mengubah nasib keluarganya dengan belajar bersungguh-sungguh.

"Sejak 13 tahun dia sanggup berulang-alik dari rumah kami di Melaka ke Skudai, Johor termasuk bagi mengikuti program sarjana dan seterusnya PHD dalam Perancangan Pengangkutan," katanya.

Leow berkata, pekerjaan akhir mendiang suaminya adalah Pengarah Pendidikan Akademi Laut Malaysia dan walaupun sibuk bekerja, dia tidak berhenti menuntut ilmu.

Menurutnya, mendiang suaminya juga kerap menasihati anak-anaknya supaya mementingkan ilmu kerana ia mampu mengubah masa depan.

"Saya yakin sepanjang hidup, dia berjaya menjadi contoh yang baik.

"Diharap pencapaiannya mampu menjadi inspirasi kerana pelbagai lapisan masyarakat untuk turut menyahut cabaran menuntut ilmu," katanya.

Seramai 3,652 graduan bakal diraikan di majlis konvokesyen berkenaan yang berlangsung selama tiga hari mulai 10 hingga 12 November di Dewan Sultan Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:18 PM