POLIS meminta Noraini Samian (gambar kecil, kanan) dan Khairul Izaini (gambar kecil, kiri) untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak. FOTO ihsan Polis
POLIS meminta Noraini Samian (gambar kecil, kanan) dan Khairul Izaini (gambar kecil, kiri) untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak. FOTO ihsan Polis
Siraj Mohd Zaini


POLIS meminta ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak yang meninggal dunia di hospital di Ampang, semalam dipercayai akibat didera untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat meminta ibu kandung mangsa iaitu Noraini Samian, 20, dan bapa tirinya, Khairul Izaini Khairuddin, 31, untuk tampil ke balai polis berhampiran.

"Bapa tiri mangsa turut dikenali dengan panggilan 'Boy Tiger' dan kedua-dua mereka menghilangkan diri dengan menaiki motosikal Yamaha 125z di hospital selepas menghantar kanak-kanak itu,” katanya.

Fadzil berkata, mangsa pada awalnya dihantar oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke hospital kira-kira jam 12 tengah hari kerana didapati tidak sedarkan diri.

Menurutnya, doktor yang memeriksa mangsa di wad kecemasan hospital berkenaan mendapati terdapat beberapa kesan luka dan lebam di muka dan anggota badan.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan pegawai perubatan itu membuat laporan polis berikutan terdapat kesan lebam dan luka pada badan mangsa.

"Bagaimanapun, ibu kandung dan bapa tirinya menghilangkan diri selepas menghantar kanak-kanak itu ke hospital.

"Bedah siasat kanak-kanak itu dijalankan hari ini dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada sidang media selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Berita berkaitan:

  • Budak maut didera
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 11:57 AM