Syalikha Sazili


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan penggiat industri seni tanah air untuk membuat rujukan dengan pihak berkuasa agama sebelum menyiarkan filem mahupun drama yang mengandungi konteks sensitif.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya bersedia memberi khidmat nasihat sekiranya terdapat elemen yang berpotensi mengundang kontroversi berkaitan agama.

“Kita nasihat penerbit filem atau drama untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat mufti, jabatan agama atau ulama bagi perkara yang mungkin menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Bidang kuasa itu adalah bahagian penapisan filem di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Bagaimanapun sekiranya ada perkara sensitif atau kritikal, KDN turut merujuk dengan JAKIM untuk bersama membuat penilaian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kempen ‘Jom Cinta Nabi’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP), Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai drama yang dikatakan merendahkan martabat wanita dan isteri serta tersasar dari nilai Islam.

Mohamad Nordin juga berkata, rujukan filem yang dibuat bersama JAKIM akan turut dilakukan secara menyeluruh sehingga semakan skrip.

“Kalau dirujuk, kita akan semak sampai tulisan skrip.

“Kita akan bagi komen dan pandangan berdasarkan garis panduan berunsur Islam,” katanya.

Sementara itu, kempen Jom Cinta Nabi anjuran akhbar Berita Harian dengan kerjasama JAKIM yang akan berlangsung selama tiga minggu bermula 10 sehingga 20 November depan.

Pelbagai aktiviti akan diadakan seperti ceramah agama, penulisan artikel dan rencana mengenai sunnah serta pertandingan video.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 1:08 PM
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen 'Jom Cinta Nabi' di Balai Berita NSTP, Bangsar. FOTO Saddam Yusoff
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen 'Jom Cinta Nabi' di Balai Berita NSTP, Bangsar. FOTO Saddam Yusoff