Sharifah Mahsinah Abdullah

Kota Bharu: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam melawat depoh simpanan keperluan banjir di Kemumin dekat Pengkalan Chepa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat tiba di depoh itu jam 11.30 pagi dan meluangkan masa 30 minit melihat persiapan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menghadapi musim banjir.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKM Mohd Fazari Mohd Salleh, Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif JKM Samsuzuli Che Noh dan Pengarah JKM Kelantan Said Sidup.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan banjir di Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada sebelah petang pula, beliau menghadiri mesyuarat persediaan banjir Pantai Timur di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

 WAN Azizah menunjukkan beras dan keperluan lain mangsa banjir di Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat Pengkalan Chepa, semalam.
WAN Azizah menunjukkan beras dan keperluan lain mangsa banjir di Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat Pengkalan Chepa, semalam.

Sementara itu, Mohd Fazari berkata, depoh itu mempunyai pelbagai bekalan terutamanya barangan asas seperti beras, susu dan biskut untuk kegunaan mangsa banjir.

Katanya, bekalan itu mencukupi untuk 13,000 mangsa selama tiga hingga lima hari.

“Setakat ini bekalan untuk mangsa banjir mencukupi. Buat masa ini, cuti semua 341 kakitangan JKM negeri belum lagi dibekukan dan hanya akan berbuat demikian jika keadaan memerlukan,” katanya selepas lawatan itu.

Menurutnya, sebahagian daripada bekalan makanan asas itu dihantar ke mini depoh di setiap jajahan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 10:09 AM