KEADAAN kereta berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kereta berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply

DUA bersaudara maut, dua lagi parah selepas Perodua Myvi dinaiki mereka merempuh sebuah bas kilang yang diparkir di tepi jalan di Kilometer 51 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Jambu Bongkok, Marang, semalam.

Kemalangan berlaku jam 9.30 malam, menyebabkan Norillyana Mat Hassan@Hassan, 19, yang juga penumpang hadapan maut di lokasi, manakala Muhammad Ismail Ramdzul Haisam, 19, di tempat duduk belakang meninggal dunia ketika rawatan.

Abang Muhammad Ismail, Muhammad Abdul Kudus, 21, yang memandu kereta itu dan kakak Norillyana iaitu Norsyahida, 29, koma serta dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika empat mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu Muhammad Abdul Kudus dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar belakang sebuah bas kilang jenis Isuzu diletakkan di tepi jalan.

“Kejadian itu menyebabkan penumpang hadapan (Norillyana) maut di tempat kejadian, manakala tiga yang cedera parah dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, adik kepada pemandu iaitu Muhammad Ismail meninggal dunia pada jam 11.15 malam ketika menerima rawatan di hospital itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, dua mangsa termasuk pemandu yang koma masih dalam pemerhatian pakar dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 3:27 PM