PASUKAN penyelamat melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Burung di Labuan. FOTO ihsan APMM
PASUKAN penyelamat melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Burung di Labuan. FOTO ihsan APMM
Wan Faizal Ismayatim


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap seorang pemancing yang hilang apabila bot dinaikinya ditemui berpusing tanpa sesiapa mengendalikannya di perairan Pulau Burung, di Labuan, hari ini.

Mangsa, Maddin Simion, 51, dilaporkan keluar ke laut sendirian pada 6 pagi untuk menangkap ikan di kawasan perairan terbabit.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, Bilik Operasi Zon Maritim Labuan menerima laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan pada 7.40 pagi tadi berhubung penemuan bot pancing berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat bot berkenaan dinaiki seorang pemancing sebelum pengadu beredar namun tidak lama kemudian pada kira-kira 7 pagi dia mendapati bot itu berpusing tanpa sesiapa di dalamnya.

"APMM telah menggerakkan dua bot kilat ke kawasan yang dilaporkan untuk melaksanakan Operasi SAR sejurus menerima laporan. Turut terbabit dalam operasi itu ialah Pasukan Polis Marin, bomba, Jabatan Perikanan, Jabatan Labuan dengan dibantu penduduk kampung.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan turut menghantar pasukan penyelam bagi membuat pencarian di sekitar lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan di Labuan, hari ini.

Che Adnan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Labuan di talian 087-427999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 3:28 PM