GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


KANAK-KANAK perempuan berusia 10 tahun mendakwa nyaris dilarikan dua lelaki yang menaiki Proton Wira di Taman Fasa 2I Seri Manjung, Manjung, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa sedang mengayuh basikal berseorangan dari sekolah untuk pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa cuba dilarikan dua individu tidak dikenali.

“Ketika pengadu mengayuh basikal, tiba-tiba Proton Wira berwarna biru gelap yang dinaiki dua lelaki berhenti di sebelahnya.

“Individu terbabit cuba menarik tangan pengadu masuk ke dalam kereta sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dari basikal dan dia kemudian terus melarikan diri ke rumah pengasuhnya.

“Pengadu kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya dan dia dibawa ke balai polis untuk membuat laporan bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, nombor pendaftaran kereta terbabit tidak dapat dikenal pasti dan pengadu mendakwa tidak mengenali kedua-dua suspek.

“Tiada saksi awam yang melihat kejadian itu dan ia berlaku secara pantas dan pengadu juga tidak mengecam suspek.

“Namun, seorang daripada mereka didakwa berkulit putih serta berjerawat di muka dan anggaran umur tidak pasti.

“Hasil siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, kanak-kanak terbabit selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan kerana cubaan melarikan orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 12:10 PM