GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

DATASONIC Group Bhd hari ini menjelaskan ia mendapat kontrak membekalkan 12.5 juta cip bagi pasport Malaysia melalui tender terbuka pada April 2012.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Datasonic berkata, ia diberikan kontrak selama lima tahun itu berdasarkan kepada perkadaran nilai keselamatan cip yang dipertingkat, selain harga 15 peratus lebih rendah berbanding pembekal terdahulu yang membawakan jumlah penjimatan sebanyak RM56.25 juta kepada kerajaan dalam tempoh tersebut.

“Kami ingin menjelaskan bahawa syarikat atau mana-mana pengarahnya tidak memberikan sebarang bayaran kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri) berhubung pembekalan sebanyak 12.5 juta cip untuk pasport malaysia,” kata syarikat itu.

Pada rehat tengah hari, harga saham Datasonic yang merupakan tiga kaunter paling aktif, susut 25.5 sen kepada 44 sen dengan 58.59 juta saham diniagakan.

Dagangan saham Datasonic digantung bagi tempoh berbaki dagangan hari ini berikutan harga dagangan terakhirnya jatuh melebihi 15 sen atau 15 peratus daripada harga rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 8:02 PM