Faris Fuad

DUA wanita berdepan detik cemas apabila disamun lelaki bersenjatakan pisau di Jalan Terasek, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada kejadian 1.45 pagi itu, mangsa, warga Bangladesh dan India masing-masing berusia 23 dan 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, ketika kejadian mereka berjalan pulang ke rumah yang terletak di Jalan Terasek 3, di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-duanya yang juga penuntut universiti awam itu baru menjamu selera di sebuah restoran.

Beliau berkata, semasa melalui simpang Jalan Terasek 3 dan Jalan Terasek 6, tiba-tiba seorang lelaki keluar dari celah parkir kenderaan lalu memeluk salah seorang mangsa dari arah belakang.

Katanya, suspek bertindak meletakkan pisau di bahagian bawah dagu mangsa berusia 29 tahun.

“Suspek kemudian meminta dua perempuan berkenaan untuk menyerahkan barang berharga,” katanya.

Bagaimanapun katanya, wanita warga India itu berjaya melepaskan diri daripada suspek.

“Dia terus melarikan diri bersama rakannya. Suspek tidak mengejar mereka, sebaliknya turut melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, mereka mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 11:08 PM