Mohd Sabran Md Sani


WANITA digelar ‘Ratu Dadah’ atau ‘QueenPin’ ditahan kerana disyaki menjadi dalang aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, suspek, 34, ditahan anggota JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam enam serbuan pada 12 hingga 14 Oktober lalu.

“Wanita yang pernah ditahan sebelum ini diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Uda, dan dia menjadi ketua sindiket dadah wanita pertama yang ditahan polis di negeri ini.

“Suspek dipercayai mendalangi aktiviti pengedaran dadah di negeri ini yang turut bekerjasama dengan seorang lelaki yang juga ketua kongsi gelap 36 yang ditahan dalam operasi sama,” katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan 14 ahli sindiket membabitkan sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan empat wanita tempatan berusia 26 hingga 39 tahun.

“Enam serbuan itu membabitkan premis kediaman dan lokasi di Jalan Teluk Buloh Batu Pahat, Bandar Baru Uda, Taman Horizon Hill, Taman Renggam Jaya, jeti Mersing dan Jalan Melor Batu Pahat.

“Serbuan itu hasil siasatan dan risikan oleh JSJN Bukit Aman dan JSJN Johor dalam operasi di sekitar negeri ini,” katanya.

Katanya dalam serbuan bemula jam 8.30 malam pada 12 Oktober hingga 10.30 malam 14 Oktober lalu itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah, kereta, motosikal, wang tunai Malaysia dan Indonesia serta barangan kemas.

“Sebanyak 16 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 6 kg heroin, 0.25 kg ketamin, 97 biji pil ekstasi, 13 biji pil yaba dan satu biji pil Erimin 5 bernilai RM1 juta.

“Turut dirampas sembilan kereta termasuk Jaguar XF, Toyota Vellfire, BMW, Ford Ranger, sebuah motosikal Yamaha, wang tunai RM138,000, pelbagai jam berjenama dan barangan kemas bernilai RM2 juta,” katanya.

KENDERAAN yang dirampas polis daripada sindiket pengedaran dadah. FOTO Zain Ahmed
KENDERAAN yang dirampas polis daripada sindiket pengedaran dadah. FOTO Zain Ahmed

Katanya, ketua sindiket kongsi gelap yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah, selain seorang ahli sindiket berusia 34 tahun dikehendaki Polis Indonesia kerana melarikan diri dari tahanan Penjara Bengkalis Indonesia.

“Kami percaya semua bekalan dadah untuk kegunaan 85,000 pengguna itu untuk edaran negara jiran termasuk Indonesia,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 2:32 PM
MOHMAD (tiga dari kanan) pada sidang media rampasan dadah di Ibu Perjabat Polis Kontijen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Zain Ahmed
MOHMAD (tiga dari kanan) pada sidang media rampasan dadah di Ibu Perjabat Polis Kontijen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Zain Ahmed