NORHIZAM Hassan (tengah) pada sidang media majlis perasmian Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) & Jualan Terus Dari Ladang (JTDL). FOTO Khairunisah Lokman
NORHIZAM Hassan (tengah) pada sidang media majlis perasmian Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) & Jualan Terus Dari Ladang (JTDL). FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan

“Perkara yang lepas jangan lagi dikenang.” Itu penjelasan EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee selepas hampir seminggu insiden ‘naik suara’ antara beliau dan penduduk Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, Melaka.

Ditanya sama ada insiden itu membataskan tumpuannya untuk berkhidmat kepada rakyat, Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, ia tidak sesekali menjejaskan tumpuannya untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini.

“Kita kena (fokus) di depan, perkara yang di depan mata. Banyak lagi kerja yang hendak diuruskan.

“Insya Allah (insiden itu sebagai pengajaran) akan lebih berhemah (pada masa depan),” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di Yoshi Agro Care, Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Che Samudin Hassan.

Media sebelum ini melaporkan isu video ‘naik suara’ membabitkan Norhizam dan penduduk kampung terbabit berkaitan penutupan jalan alternatif sehingga menjadi viral di media sosial.

Malah, netizen yang berang dengan isu berkenaan turut meminta Timbalan Pengerusi DAP negeri itu meletak jawatan kerana didakwa gagal mengendalikan permasalahan rakyat.

Sementara itu, Norhizam berkata, kerajaan negeri melalui FAMA bercadang menambah lagi program JTDL di Melaka, termasuk bilangan peserta bagi PPL dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan tanaman import di pasaran tempatan.

“Melihat kepada sambutan memberangsangkan di PPL dan JTDL di Bukit Katil ini, kita bercadang untuk menambah dua lagi program yang sama iaitu di Melekek dan Pengkalan Balak di daerah Alor Gajah.

“Kita menyarankan peladang menggunakan kaedah penanaman fertigasi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kemasukan import sayur-sayuran yang kini mencecah 60 peratus,” katanya.

Berita berkaitan:

'Saya mohon maaf sebab teremosi' - Norhizam [METROTV]

Maafkan kami, EXCO kurang pengalaman - Ketua Menteri

Netizen pakat kecam Norhizam

Penduduk 'serang' saya soalan panas bertubi-tubi - Norhizam

YB DAP bertegang urat leher ditegur penduduk

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 2:07 PM