Wan Faizal Ismayatim

AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli hari ini mengesahkan keluar UMNO dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Beliau menyerahkan borang menyertai parti berpangkalan di Sabah itu kepada Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking dalam satu majlis khas di Labuan.

Rozman yang menjadi Ahli Parlimen di pulau bebas cukai itu sejak 2013 berkata, keputusan itu dibuat selepas berfikir panjang dan mendengar pandangan pelbagai pihak demi masa depan Labuan dan kesejahteraan rakyatnya.

Katanya, perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memberi peluang untuk Labuan memperbaiki sistem pentadbiran peringkat struktur dan membolehkan ia keluar dari situasi yang mana wilayah ini ditadbir dari jauh di Putrajaya dan kekuatannya sebagai sebahagian dari Pulau Borneo itu berkurang.

“Labuan memerlukan ‘empowerment’ yang cukup luas bagi bergerak lebih pantas dan rapat dengan jiran berdekatan. Hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu.

“Maka, wajar pembaharuan ini bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti berpusat di Sabah.

“Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baharu ke arah hubungan antara Labuan dan Sabah lebih intim dan produktif yang membawa faedah kepada kedua-duanya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, hubungan rapat dengan Sabah juga demi kepentingan sektor minyak dan gas, selain mahu bersama pemimpin Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Alhamdulillah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan komitmen ke arah merealisasikan hasrat itu (MA63).

“Saya turut gembira dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal kepada saya yang mana beliau memberi jaminan Kerajaan Pusat dan Sabah perlu memberi perhatian secukupnya kepada Labuan,” katanya.

Beliau berkata, satu fasa baharu dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiran yang lebih erat antara Labuan dan kerajaan Sabah harus diwujudkan.

Katanya, itu juga diinginkan pucuk pimpinan WARISAN yang mana calonnya hampir memenangi kerusi Labuan pada PRU-14 dan kini dengan penyertaan beliau dalam parti sama, hasrat ini menjadi realiti.

“Keadaan ekonomi semasa dan kedudukan Labuan dalam Malaysia yang unik berbanding dengan kawasan Parlimen lain memerlukan saya membuat keputusan ini.

“Saya perlu memenuhi harapan rakyat yang rata-ratanya terkesan dengan kejatuhan industri Minyak dan Gas di Labuan. Masyarakat Labuan adalah sebuah komuniti rapat antara satu sama lain.

“Sebagai Ahli Parlimen, rakyat memerlukan khidmat saya membantu mereka dengan segera dan tanpa membuang masa agar ekonominya dapat berkembang semula.

“Saya juga mahu memastikan penggal kedua saya ini cukup produktif dan bermanfaat untuk penduduk Labuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 1:33 PM