PROSES pemandulan dilakukan doktor veterinar pada Program Mega Pemandulan Kucing, semalam.
PROSES pemandulan dilakukan doktor veterinar pada Program Mega Pemandulan Kucing, semalam.
Badrul Kamal Zakaria


MUAR: Sejumlah 130 kucing termasuk 100 kucing terbiar dimandulkan pada Program Mega Pemandulan Kucing anjuran Noah’s Ark Birth Control Clinic di Jalan Abdul Rahman di sini, semalam.

Program dua hari bermula semalam itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya pemandulan haiwan bagi mengelak pembiakan kucing terbiar khususnya di tempat awam.

Pengerusinya, Mariam Yusof berkata, dalam program itu 10 sukarelawan yang juga pencinta kucing menangkap haiwan berkenaan di kawasan Taman Rekreasi Tanjung Emas, Pasar Maharani, Hentian Bas Pagoh, Pasar Parit Jawa dan beberapa kawasan taman perumahan.

Katanya, program itu dilaksanakan selepas pihaknya mendapati banyak kucing terbiar di tempat awam.

“Kehadiran kucing terbiar ini mengganggu orang ramai terutama kucing yang fizikalnya kotor atau ada penyakit seperti kurap. Selain itu, ada juga kucing membuang najis di merata-rata tempat.

“Justeru, jika tidak dimandulkan, kucing ini terus membiak dan lebih membimbangkan ketiadaan penjagaan menyebabkan ada kucing terutama anak kucing dimakan biawak, dilanggar atau terjatuh ke dalam longkang.

“Selain itu, sesetengah pemilik kucing hanya menjaga haiwan itu ketika masih cantik, namun apabila tidak lagi menarik, mereka membuangnya. Begitu juga apabila kucing mereka membiak terlalu banyak, mereka membuangnya,” katanya.

Mariam yang turut digelar Cat Women oleh pencinta kucing berkata, bagi memastikan kehidupan kucing terbiar lebih baik, mereka perlu memandulkan haiwan berkenaan.

“Semua kucing terbiar yang ditangkap dibawa ke klinik untuk dimandulkan dan jika ada penyakit, rawatan sesuai diberikan.

“Program ini diuruskan enam tenaga veterinar ditaja Kelab Rotary Muar dan individu bagi menampung kos proses pemandulan RM50 seekor,” katanya.

Katanya, bagi pemilik kucing yang ingin melakukan proses sama, tetapi pada masa lain boleh ke klinik itu setiap Jumaat dan Sabtu dengan bayaran RM60 untuk kucing jantan serta RM70 bagi kucing betina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:00 AM