GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti A'isyah Sukaimi

KERAJAAN memutuskan tarikh pelaksanaan petrol RON95 EURO4M ditangguhkan dari 1 Oktober tahun ini, kepada 1 Januari 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini untuk menjajarkan perubahan harga kos bagi produk petrol RON95 EURO4M mulai Julai 2019.

Beliau berkata, penjajaran itu dengan permulaan kerja transisi kepada produk petrol RON95 EURO4M di peringkat depoh dan stesen minyak selama enam bulan.

“Kerajaan juga bersetuju supaya peralihan harga bagi produk petrol RON95 EURO4M dibuat secara berperingkat selama enam bulan bermula Julai 2019 untuk mengurangkan impak perubahan harga kepada pengguna.

“Kaedah ini dilihat lebih adil kepada pengguna kerana dalam tempoh transisi ini, pembelian petrol RON95 masih belum memenuhi spesifikasi penuh EURO4M," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan mula merancang pelan hala tuju peningkatan kualiti bahan api petrol dan diesel sejak tahun 2006.

Katanya, pengenalan kualiti bahan api yang lebih tinggi adalah satu daripada usaha dalam mencapai matlamat Dasar Teknologi Hijau Negara 2009 iaitu mengurangkan pencemaran alam sekitar serta kesan kepada kesihatan orang awam.

“Matlamat ini juga menjadi janji ke-39 'Mengimbangi Pembangunan Ekonomi Dengan Perlindungan Alam Sekitar' dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Pada 18 Ogos 2014, kerajaan bersetuju dengan pelaksanaan spesifikasi kualiti bahan api petrol EURO4M dan EURO5 membabitkan petrol RON97 EURO4M (1 September 2015), petrol RON95 EURO4M (1 Oktober 2018), diesel EURO5 (1 September 2020) dan petrol EURO5 pada (1 September 2025)," katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, selepas melalui beberapa siri perbincangan antara pihak kerajaan dan syarikat minyak yang berkenaan, kerajaan mendapat maklum mereka memerlukan lebih masa.

Beliau berkata, ia untuk membuat persediaan bagi memastikan bekalan petrol RON95 EURO4M memenuhi keperluan pasaran di Malaysia tanpa memberi kesan kepada harga jualan runcit sedia ada kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 3:51 PM