FACEBOOK Adnan Othman.
FACEBOOK Adnan Othman.
Mohd Khidir Zakaria

ALLAHYARHAM Adnan Othman, 33, yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Puchong, Selangor malam tadi, ada memuat naik catatan memilukan di akaun Facebook miliknya.

Menggunakan nama Adnan Othman Tokey Gula, arwah menulis ‘Pilihan kita ini ibarat ranting kayu yang banyak cabang. Dalam setiap cabang itu masih ada lagi yang cabang-cabangnya akan tunggu masa bila ia akan mati’, Apa pilihan kita?. TIADA... yang pasti tetap mati..”

Rakan arwah, Rudy Ismail, 37, berkata, kehilangan enam rakan setugas dalam sekelip mata sesuatu yang sukar untuk diterimanya.

“Sebagai rakan sekerja, kami sering bergurau tetapi dalam sekelip mata saya kehilangan enam sahabat sekali gus,” katanya.

Katanya, arwah Adnan memuat naik status di Facebook miliknya dua hari sebelum kejadian menyebabkan rakan-rakan terkejut apabila mendapati dia sudah menduga akan pergi buat selamanya.

“Kehilangan arwah bersama rakan lain menyedihkan. Ramai antara kami tidak sanggup membuka Facebook masing-masing kerana tidak sanggup melihat catatan berkaitan tragedi ini,” katanya.

Katanya, ini antara cabaran yang terpaksa dihadapi anggota bomba yang bertugas dalam apa keadaan sekali pun.

“Kami tidak patah semangat walaupun tragedi ini meruntun jiwa kerana inilah pengorbanan kami,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat, Lukut, Port Dickson, tengah hari ini.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 4:57 PM