NAJIB dan Rosmah berpegangan tangan ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas membayar jaminan, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
NAJIB dan Rosmah berpegangan tangan ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas membayar jaminan, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sarah Zulkifli dan Faris Fuad


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Mereka kelihatan tenang malah sempat memberikan senyuman sebelum memasuki kenderaan Proton Perdana berwarna hitam pada 12.30 tengah hari.

Najib juga menunjukkan ibu jari sebagai tanda ‘baik’ selepas diasak pelbagai persoalan oleh wartawan yang berkumpul di pekarangan mahkamah sejak 7 pagi hari ini.

Sebelum itu, Najib dan Rosmah turut berpegangan tangan di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas prosiding kes dihadapi isterinya tamat.

Perbuatan mesra mereka itu mendapat perhatian orang ramai sebelum dirakam jurugambar dan juruvideo.

Terdahulu, Rosmah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 8.27 pagi hari ini.

Rosmah dilihat masuk ke pekarangan mahkamah menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam dengan diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis.

Beliau yang memakai baju kurung, selendang dan kasut jingga masuk ke lobi mahkamah berkenaan dengan diiringi beberapa kakitangan Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kehadiran Rosmah disusuli dengan ketibaan Najib di mahkamah sama pada 8.38 pagi bagi mengikuti prosiding sebutan semula kesnya di Mahkamah Tinggi.

Bekas Perdana Menteri itu yang hadir memakai kemeja biru dan jaket hitam dilihat masuk ke pekarangan mahkamah menaiki kenderaan dengan diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis.

Sebaik tiba, Najib sempat bersalaman dengan beberapa pengikut beliau yang hadir bagi memberi sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 1:32 PM