ROSMAH ketika hadir di SPRM, hari ini. FOTO
ROSMAH ketika hadir di SPRM, hari ini. FOTO
Siti A’isyah Sukaimi dan Noor Atiqah Sulaiman

ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijangka berdepan 15 hingga 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 8 pagi esok.

Semua pertuduhan itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebelum ini, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan menahan isteri bekas Perdana Menteri itu pada 3.20 petang.

Katanya, penahanan beliau dibuat berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas mendapat izin pendakwaan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan mengikut AMLATFPUAA 2001.

“Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, jam 8 pagi esok untuk pertuduhan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Rosmah tiba di bangunan ibu pejabat SPRM pada 10.42 pagi, hari ini untuk memberi keterangan.

Beliau dilihat masuk ke perkarangan SPRM menaiki kenderaan Proton Perdana dan diiringi sebuah lagi kenderaan.

Selain itu, Rosmah yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi ibu pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan agensi berkenaan.

Rosmah hadir kali ketiga bagi memberi keterangan.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Berita berkaitan

[UPDATE] Rosmah akan didakwa esok

SPRM tahan Rosmah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 8:33 PM