Muhaamad Hafis Nawawi dan Yuzfazrina Amira Yuzri

CUBAAN lima lelaki membawa enam bungkusan dadah jenis ganja seberat 252.16 kilogram (kg) bernilai RM630,250 menggunakan kereta gagal selepas mereka terserempak anggota polis di Kedondong, Pokok Sena, Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang melakukan rondaan mengarahkan Proton Waja dan Toyota Vios berkenaan berhenti.

Bagaimanapun, pemandu Toyota Vios memecut laju, manakala empat lelaki berusia 20 hingga 42 tahun yang berada dalam Proton Waja berjaya ditahan selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kedah Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, anggota polis meminta bantuan MPV lain untuk mengejar kereta terbabit sebelum dia terbabas di tepi jalan Pokok Sena-Kubur Panjang dan pemandunya melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui empat bungkusan di tempat duduk belakang dan dua bungkusan di but belakang mengandungi dadah jenis ganja.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 248 ketulan mampat ganja seberat 252.16 kg ditemui dalam bungkusan itu.

“Siasatan juga mendapati empat lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai pembantu kedai makan, petani, pemandu traktor dan buruh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

ABD Rahim (kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini. FOTO Amran Hamid
ABD Rahim (kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini. FOTO Amran Hamid

Menurutnya, siasatan mendapati pembantu kedai makan itu memiliki 14 rekod jenayah dan dua rekod jenayah narkotik, manakala buruh pula mempunyai dua rekod jenayah narkotik.

Katanya, suspek berusia 30-an yang melarikan diri itu sudah dikenal pasti dan sedang diburu bagi membantu siasatan.

“Keempat-empat suspek itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita berkaitan

Patutlah hang lari...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 1:29 PM