PUTRAJAYA 29 OGOS 2018. Sidang media oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Look Siew Fook di Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR
PUTRAJAYA 29 OGOS 2018. Sidang media oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Look Siew Fook di Putrajaya. NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Kalbana Perimbanayagam; Luqman Arif Abdul Karim dan Ahmad Ajwad Azman


JUMLAH individu yang tampil menyerahkan ‘lesen terbang’ kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga kini sangat sedikit dan tidak menepati jangkaan awal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, yang menyuarakan kekesalan berhubung perkara itu berkata, tempoh sebulan, mulai 13 September lalu diberikan untuk individu berkaitan berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, mereka masih berkeras menggunakan ‘lesen terbang’ untuk memandu di negara ini kerana mungkin beranggapan kerajaan tidak serius dalam mengenakan tindakan perundangan.

“(Jumlah lesen terbang yang dipulangkan) terlalu sedikit, mungkin orang rasa kita tidak serius. Oleh itu, saya nak ingatkan, mereka hanya ada tempoh kurang daripada dua minggu lagi untuk berbuat demikian.

“Saya beri jaminan, tiada tindakan punitif dikenakan terhadap mereka jika tampil menyerahkan lesen terbang kepada pejabat JPJ berdekatan, malah kita akan beri bantuan penyelesaian.

“Ia termasuk membantu mereka mendapatkan lesen yang sah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke JPJ Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini

Siew Fook berkata, kerajaan tidak berniat untuk mengheret individu yang masih menggunakan lesen terbang ke JPJ dan mahkamah, meskipun mempunyai latar belakang dan maklumat mengenai mereka.

Sehubungan itu, katanya, jalan terbaik ialah akur dengan arahan untuk memulangkan lesen terbang, selain menggunakan saluran betul bagi mendapatkan lesen memandu yang sah.

Dalam perkembangan lain, Siew Fook berkata, mana-mana warga asing yang menetap di negara ini diberikan permit memandu dan ia sah untuk digunakan dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun katanya, mereka dikehendaki menduduki ujian dan mendapatkan lesen memandu Malaysia bagi menggantikan permit berkenaan, bagi mengelak sebarang tindakan perundangan.

“Kita minta kedutaan menghebahkan perkara ini kerana sering wujud salah tanggapan dalam kalangan warga asing yang ingin memandu bagi pelbagai tujuan, khususnya bekerja di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), Siew Fook berkata, kadar itu masih dalam penelitian dan rundingan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), selain bersandarkan tiga prinsip utama.

“Penetapan PSC perlu menepati prinsip, iaitu lapangan terbang boleh diperluaskan, manakala kadar itu tidak seharusnya membebankan kerajaan dan berdaya saing,” katanya.

Kadar PSC semasa bagi penerbangan domestik, ASEAN dan destinasi antarabangsa (selain ASEAN) masing-masing ditetapkan pada RM11, RM35 dan RM73 bagi setiap penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 1:57 PM