ABDUL Ghaffar  menunjukkan risalah Minggu Menabung SSPN yang akan diadakan pada 5-7 Oktober ini di 1 Utama Shopping Centre.
ABDUL Ghaffar menunjukkan risalah Minggu Menabung SSPN yang akan diadakan pada 5-7 Oktober ini di 1 Utama Shopping Centre.
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Keputusan cemerlang sudah diperoleh, penempatan di institut pengajian tinggi (IPT) juga sudah diketahui dan hanya tinggal membayar kos pengajian.

Namun disebabkan kos menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) bukan murah dan meningkat saban tahun serta simpanan pendidikan juga tiada, peluang untuk melangkah ke menara gading terkubur begitu saja.

Ia pasti cukup mengecewakan terutama buat si anak yang sudah berusaha untuk merealisasikan impiannya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Itulah realiti segelintir masyarakat kita yang belum menyedari kepentingan menabung untuk pendidikan anak.

Budaya menabung untuk pendidikan tinggi anak masih rendah, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.

Selain menjadikan gaji kecil sebagai alasan untuk tidak menabung, rata-rata ibu bapa terlalu bergantung harap kepada pinjaman kerajaan. Hakikatnya, kerajaan hanya menyediakan prasarana dan tanggungjawab menyediakan kewangan adalah pada ibu bapa itu sendiri.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perhubungan Awam Dan Pengurusan Majlis, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghaffar Yusop berkata, kebanyakan rakyat Malaysia hanya mula menabung selepas anak memasuki sekolah menengah.

Katanya, dengan zaman perbankan di hujung jari juga ramai masyarakat berbelanja melebihi kemampuan, sekali gus mengabaikan simpanan pendidikan anak.

“Bagi memastikan anak boleh melanjutkan pelajaran tanpa mengharapkan pinjaman sekali gus dibebani hutang, ibu bapa perlu mengubah persepsi ‘simpan dulu baru belanja’.

“Kalau dilihat budaya ibu bapa sekarang, mereka meletakkan simpanan anak di senarai terakhir apabila mendapat gaji. Mereka lebih gemar berbelanja dahulu baru berfikir menyimpan.

“Tabiat itu harus diubah dan menjadikan simpanan adalah yang pertama dalam senarai perbelanjaan walaupun hanya RM1 sehari,” katanya.

Ramai tidak tahu dengan hanya RM1, ibu bapa bukan saja boleh menyimpan untuk pendidikan anak seawal mereka berumur sehari, tetapi juga dilindungi dengan takaful.

Itulah yang ditawarkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) menerusi pelan simpanan SSPN-i Plus yang membolehkan pendeposit menyimpan serendah RM1 sehari bersamaan RM30 sebulan.

Komitmen bulanan RM30

Pelan simpanan itu adalah yang terbaik kerana hanya dengan komitmen bulanan serendah RM30, pendeposit juga mendapat perlindungan takaful dengan sumbangan serendah RM10 iaitu bersamaan RM0.33 sehari.

Menurut Abdul Ghaffar, dengan hanya RM30, ibu bapa bukan saja menyediakan simpanan pendidikan untuk anak tetapi juga perlindungan untuk diri sendiri sekiranya berlaku musibah, sekali gus membantu pasangan serta keluarga kelak.

“Bayangkan jika berlaku keadaan yang tidak diingini terhadap diri kita seperti kemalangan, menghidap penyakit kritikal, kecacatan kekal atau meninggal dunia, bagaimana dengan nasib anak kelak?

“Selain itu, cita-cita ibu bapa untuk memberikan pendidikan terbaik buat anak dapat diteruskan oleh PTPTN melalui bantuan perlindungan takaful, walaupun mereka tiada lagi. Itulah keistimewaan SSPN-i Plus,” katanya.

Abdul Ghaffar juga menyarankan ibu bapa memanfaatkan dan mengambil peluang yang disediakan PTPTN untuk menyimpan secara konsisten bagi tujuan pendidikan anak.

“Percayalah, SSPN-i Plus adalah pelan simpanan terbaik untuk anda dan keluarga. Manfaatnya berbaloi dengan bayaran pakej serendah RM30 sahaja,” katanya.

Diperkenalkan sejak 2015, SSPN-i Plus menawarkan simpanan yang dijamin kerajaan serta dividen yang kompetitif, perlindungan takaful dari RM40,000 sehingga RM1 juta, pelepasan taksiran cukai dan turut menawarkan cabutan dengan hadiah menarik dengan simpanan sekurang-kurangnya RM50.

Hanya 3 juta pendeposit

Walaupun ia memberikan banyak manfaat selain simpanan, hanya 10 peratus saja ibu bapa iaitu 3 juta yang menjadi pendeposit berbanding populasi di Malaysia iaitu 32 juta. Peratusan ini sememangnya masih rendah.

Justeru, bagi memberi galakan dan meuar-uarkan pentingnya membuat penabungan dan simpanan pendidikan, PTPTN mengadakan Minggu Menabung SSPN yang akan diadakan dari 5 hingga 7 Oktober ini di 1 Utama Shopping Centre (OU).

Menurut Abdul Ghaffar, Minggu Menabung SSPN yang diadakan bersempena Hari Menabung Sedunia pada 31 Oktober ini satu platform kepada orang ramai memulakan simpanan terutama untuk anak-anak lebih awal kerana ia menjamin masa depan mereka #mulakansekarang.

“Menerusi program tiga hari ini, ibu bapa berpeluang membuka akaun anak-anak di samping mengikuti pelbagai aktiviti serta hadiah menarik yang menanti.

“Antaranya bergembira dengan Didi & Friends, persembahan selebriti popular, cabutan bertuah, 3 Kupang Challenge, Pertandingan Mewarna & Puzzle, Action Song Competition, talkshow, Zoomerz Hot FM dan banyak lagi.

“Kemuncak Minggu Menabung SSPN ini pula adalah pada hari kedua iaitu 6 Oktober yang mana serentak di seluruh negara, orang ramai turut sama boleh membuka akaun serta mengikuti pelbagai aktiviti menarik di pusat beli-belah terpilih,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Menabung SSPN ini, layari laman sesawang SSPN, www.lovesspn.com atau portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my serta platform media.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 6:00 AM