DR MAHATHIR (kanan) bersama Rudd. FOTO BERNAMA
DR MAHATHIR (kanan) bersama Rudd. FOTO BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang “tokoh kebangkitan politik”.

Rudd yang juga Presiden Institut Dasar Masyarakat Asia, tidak berselindung dalam mengagumi Dr Mahathir yang menerajui Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, ketika mempengerusikan sesi dialog di New York.

Beliau sendiri pernah melakukan kebangkitan politik apabila menjadi perdana menteri Australia untuk dua tempoh berbeza.

Rudd mencuit hati hadirin apabila merujuk Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia yang “lama-baharu-baharu-lama".

Dr Mahathir yang kelihatan bersemangat sepanjang sesi dialog, memulakan bicara dengan kisah selama setengah jam bagaimana Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan mengejutkan ke atas Barisan Nasional.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata betapa ironinya apabila beliau dipilih menjadi perdana menteri oleh pemimpin PH yang sebelum ini melabelkan beliau sebagai diktator.

“Mereka menghabiskan masa lebih 50 tahun mengkritik saya dan memberi pelbagai gelaran kepada saya termasuk diktator dan pemimpin tidak adil. Namun apabila tiba untuk pilihan raya, mereka tidak ada masalah untuk memilih saya memimpin," katanya.

Dr Mahathir turut mengulangi hujahnya bahawa beliau bukan seorang diktator dengan menegaskan "diktator tidak bersara" seperti mana beliau.

Beliau berundur pada 2003.

Dr Mahathir juga secara berseloroh mengakui bahawa PH tidak menjangka akan memenangi pilihan raya itu.

“Sebab itulah kami membuat manifesto yang panjang dan terperinci bagi memalukan dan menekan Barisan Nasional.

“Tapi kini kami terpaksa memenuhi janji-janji dalam manifesto itu. Namun, kami mampu menunaikannya," katanya sambil disambut ketawa dan tepukan 300 hadirin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 9:46 AM