Fitri Nizam dan Baharom Bakar


IBU tunggal dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba melacurkan diri, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Bagaimanapun Hakim Tinggi Syarie, Rosdi Harun memerintahkan hukuman sebatan itu dilaksanakan di tempat tertuduh menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Beliau juga memerintahkan hukuman itu dilaksanakan selepas tempoh 14 hari sekiranya tertuduh tidak mengemukakan rayuan.

Tertuduh hanya tunduk ketika hukuman dibacakan terhadapnya.

Rosdi ketika membacakan penghakimannya menyatakan kekecewaan terhadap sikap wanita berusia 30 tahun itu yang tidak menunjukkan tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Tertuduh yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar raya ini bersama seorang pelanggan pada 17 September antara jam 11.20 malam hingga 11.45 malam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Khazmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan penguatkuasa syariah daerah di bilik bernombor 507 di hotel berkenaan dan melakukan rampasan terhadap 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.

Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran sebanyak RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.

Dalam prosiding sebelum ini, tertuduh mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan anak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Sementara itu suasana di luar Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu tenang dan lengang serta tidak menampakkan sebarang kemungkinan berlakunya protes oleh badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan kes seorang ibu tunggal yang dituduh melacur, hari ini.

Seorang pencanting batik sambilan dipenjara enam bulan dan dikenakan enam sebatan selepas mengaku salah atas pertuduhan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri. (Gambar kecil) Keadaan tenang di luar bangunan mahkamah. FOTO  Ghazali Kori dan Imran Makhzan
Seorang pencanting batik sambilan dipenjara enam bulan dan dikenakan enam sebatan selepas mengaku salah atas pertuduhan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri. (Gambar kecil) Keadaan tenang di luar bangunan mahkamah. FOTO Ghazali Kori dan Imran Makhzan

Tinjauan NSTP di luar bangunan bermula jam 8.30 pagi tadi mendapati kira-kira 60 orang termasuk petugas media membuat pendaftaran di pondok kawalan keselamatan untuk mengikuti kes itu.

Difahamkan, terdapat beberapa ahli jawatankuasa NGO berada dalam dewan mahkamah untuk mengikuti prosiding kes yang dijangka menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah itu.

Pemantauan di luar bangunan mahkamah mendapati van milik Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berwarna hitam dipercayai membawa tertuduh masuk ke perkarangan mahkamah, kira-kira jam 9.05 pagi.

Tinjauan juga mendapati hanya dua orang pengawal keselamatan bertugas di pondok kawalan dan mereka meminta setiap pengunjung mendaftarkan diri pada buku pendaftaran.

NSTP semalam melaporkan terdapat beberapa NGO bercadang melakukan protes ketika prosiding kes berkenaan di mahkamah, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahari Mamat mengingatkan NGO yang cuba membuat protes membantah keputusan mahkamah boleh dikenakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:58 AM