Baharom Bakar


BADAN bukan kerajaan (NGO) yang bercadang melakukan protes pada prosiding kes seorang ibu tunggal yang terbabit dalam aktiviti pelacuran di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, esok, boleh dikenakan tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa menghalang NGO hadir mengikuti prosiding itu, namun mereka perlu menghormati peraturan mahkamah.

“Mana-mana NGO yang berminat untuk hadir silakan, (kerana) kita tidak pernah dan tidak boleh menghalang mereka.

“Namun perlu diingat mahkamah juga ada peraturan yang perlu dipatuhi dan jika mereka (NGO) buat kacau, mahkamah berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan ada NGO yang hadir di mahkamah tinggi syariah untuk memprotes keputusan mahkamah berhubung kes pelacuran membabitkan seorang ibu tunggal terbabit.

Ini kerana Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dijangka membuat keputusan berhubung kes ibu tunggal terbabit yang ditahan kerana cubaan melacurkan diri di sebuah hotel pada 17 September lalu.

Bagi kesalahan itu, wanita berusia 30 tahun yang berasal dari Klang, Selangor itu berdepan hukuman sebat sekali lagi dijangka mencetuskan pertikaian banyak pihak termasuk NGO.

Berita berkaitan

Ibu tunggal berdepan hukuman sebat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 8:32 PM