Nurul Fhatihah Zakinan


THE New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) berhasrat mengadakan Pameran Hartanah MyRumah 2018 bagi siri akhir di Ipoh, Perak, hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, ia susulan sambutan luar biasa daripada orang ramai yang berkunjung ke pameran itu mendorong syarikat berkenaan untuk meneruskan lagi siri jelajah itu.

Beliau juga berharap kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran pameran hartanah seperti itu kerana ramai pakar hartanah memberi khidmat nasihat secara percuma dan berkongsi ilmu pengurusan jual beli hartanah di pentas.

"Ia antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak syarikat (NSTP). Kehadiran lapan penceramah hartanah terkemuka tanahair sepanjang program berlangsung bagi berkongsi ilmu dalam pengurusan serta proses jual-beli hartanah amat berguna dan mampu memberi pelbagai manfaat jangka panjang kepada semua.

"Jadi, saya berharap kita dapat merancang untuk mengadakan satu lagi pameran seperti ini sebelum akhir tahun, berkemungkinan di Ipoh, Perak dan menyasarkan lebih banyak pembeli hartanah," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran MyRumah 2018 siri keempat di pusat beli-belah Mahkota Parade, Melaka, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew.

Pameran selama tiga hari disertai sembilan pempamer pemaju hartanah dan bukan pemaju itu bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ia menawarkan pelbagai projek perumahan berkos sederhana serta mampu milik bermula dari RM232,000.

Turut hadir, Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew dan Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP, S Linggaraj.

Abdul Jalil berkata, MyRumah 2018 sudah mencatatkan 35,000 pengunjung sepanjang tiga siri jelajah di Shah Alam, Selangor; Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru, Johor.

"Sejak pameran ini diadakan pada 2017, sejumlah 91 unit rumah sudah terjual dengan nilai melebihi RM38 juta dan pencapaian itu amat memberangsangkan.

"Secara kesimpulannya, pameran ini bukan hanya sebuah platform dengan projek perumahan yang menarik, tetapi juga sebuah pusat sehenti yang mampu menjawab segala pertanyaan pengunjung dan pembeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:16 PM
ABDUL Jalil (kanan) dan Tey (kiri) meluangkan masa melawat ke gerai pemaju pada Pameran Hartanah MyRumah. FOTO Khairunisah Lokman
ABDUL Jalil (kanan) dan Tey (kiri) meluangkan masa melawat ke gerai pemaju pada Pameran Hartanah MyRumah. FOTO Khairunisah Lokman