LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Husni Mohd Noor

SEBANYAK 14 kes baru keracunan metanol dilaporkan hari ini membabitkan tiga buah negeri menjadikan keseluruhan 69 kes direkodkan sejak 15 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kes baru direkodkan di Selangor, lima di Perak dan dua di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 55 kes dilaporkan di Selangor, sembilan kes di Kuala Lumpur dan lima kes di Perak.

“Jumlah kematian pula adalah 21 kes masing-masing 16 kes (Selangor); tiga kes (Kuala Lumpur) dan dua kes (Perak). Daripada dua kes di Perak, satu kes kematian dilaporkan dari sebuah hospital swasta di negeri itu.

“Buat masa ini, kami menerima keputusan positif ujian darah klinikal metanol ke atas lapan kes dari negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

“Namun begitu, keputusan ujian sampel yang diambil bagi kes yang disyaki di negeri Perak belum diperolehi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 68 buah premis yang menjual arak diperiksa di mana 647 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 disita.

“Mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, mana-mana individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, kementerian menasihati masyarakat untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol malah, pihaknya akan terus memantau kes berkenaan dan perkembangannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 7:23 PM