GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

KEMASYHURAN nama seseorang tokoh semasa menjadi satu faktor pemilihan nama seseorang anak oleh ibu bapa untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Oleh sebab itu tidak hairanlah jika nama seperti "Tun" dan "Mahathir" ialah antara nama popular yang direkodkan oleh JPN iaitu seramai 4,726 orang untuk nama Tun manakala Mahathir seramai 420 orang.

Bagaimanapun, menurut JPN penggunaan nama Tun ketika ini hanya dibenarkan kepada mereka yang ada keturunan Tun sahaja dan berbeza dengan keadaan sebelumnya yang boleh digunakan tanpa mengira keturunan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Jasri Kasim berkata berdasarkan rekod jabatan itu, orang yang bernama "Malaysia" juga mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu seramai 129 orang manakala nama "Merdeka" 102 orang.

“Pihak JPN mempunyai beberapa standard yang perlu dipatuhi sebelum pihak ibu bapa memberi nama kepada JPN khasnya dari segi maksud kerana sesetengah nama memberi makna yang berbeza kepada sesuatu kaum.

“JPN tidak menghalang nak letak nama apa pun, namun jika nama tersebut boleh memberi kesan kepada penama, JPN akan berikan cadangan nama lain yang sesuai,” katanya dalam satu temu ramah eksklusif di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya pemilihan nama oleh ibu bapa banyak dipengaruhi keadaan dan faktor semasa seperti politik, sukan, hiburan mahupun peristiwa penting yang berlaku semasa bayi tersebut dilahirkan.

“Kalau anak itu lahir ketika politik negara tengah panas, mana lahirlah nama-nama pemimpin politik, begitu juga jika anak lahir ketika Piala Dunia mahupun ketika kemunculan beberapa artis terkemuka, jadi ia memang boleh mempengaruhi,” katanya.

Dalam pada itu katanya nama negeri turut menjadi pilihan seperti Sabah iaitu seramai 176 orang, Johor (163), Perak (130), Melaka (91) dan Kedah (60).

Selain itu katanya turut popular adalah nama Pahang (37), Sarawak (12), Labuan (8), Perlis (7), Putrajaya (5), Selangor (3), Kelantan (2) dan Pulau Pinang (1) manakala untuk nama Terengganu belum ada dalam rekod setakat ini.

JPN bertanggungjawab bagi mendaftarkan setiap kelahiran bayi yang berlaku di Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung Malaysia, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Cap.10) bagi negeri Sarawak dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Cap.123) bagi negeri Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 11:59 PM