SEBUAH rumah di Kampung Lalang Hilir, Gedong, musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
SEBUAH rumah di Kampung Lalang Hilir, Gedong, musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


JERITAN jiran menyelamatkan wanita apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Simunjan, hari ini.

Sumber memberitahu NSTP, ketika kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, wanita berusia 46 tahun yang tinggal sendirian di rumah berkenaan dipercayai sedang nyenyak tidur.

Kejadian itu disedari penduduk kampung dan mereka berusaha memadam kebakaran, namun api marak dengan cepat.

"Mujurlah penghuni rumah itu sedar dan berjaya menyelamatkan diri kerana api marak dengan cepat sehingga memusnahkan keseluruhan rumah itu," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.43 pagi.

Sebuah jentera dengan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dengan bantuan tujuh anggota dari BBP Serian dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 4.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.50 pagi.

"Penghuni rumah terbabit iaitu seorang wanita selamat tanpa sebarang kecederaan dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 11:59 AM