KOTA TINGGI. 11 SEPTEMBER 2018  Mayat seorang daripada dua remaja yang hilang dipercayai lemas ketika bercuti bersama keluarga di Pantai Batu Layar di sini, pagi semalam ditemui pada jam 5.50 pagi tadi. NSTP/IHSAN.MARITIM MALAYSIA.
KOTA TINGGI. 11 SEPTEMBER 2018 Mayat seorang daripada dua remaja yang hilang dipercayai lemas ketika bercuti bersama keluarga di Pantai Batu Layar di sini, pagi semalam ditemui pada jam 5.50 pagi tadi. NSTP/IHSAN.MARITIM MALAYSIA.
Izlaily Nurul Ain Hussein


MAYAT seorang daripada dua remaja yang dikhuatiri lemas ketika bercuti bersama keluarga di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, semalam ditemui 5.50 pagi, hari ini.

Mayat Muhammad Norhakimi Rejab, 18, ditemui dalam keadaan berpakaian baju biru terdampar di persisiran pantai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mayatnya ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi Pangkalan Hadapan Carilamat ketika air surut.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, sebaik mayat mangsa disahkan oleh pihak keluarga, pasukan SAR membawa mayat itu ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.

“Usaha mencari seorang lagi mangsa, Noor Rahimi Fithri Ismail, 19, yang masih hilang diteruskan pada hari ini yang mana kita mendapati mangsa dilaporkan memakai baju berwarna merah,” katanya.

Beliau berkata, empat aset laut daripada beberapa agensi iaitu Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) digunakan dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Katanya, pasukan SAR memperluaskan kawasan pencarian sehingga enam batu nautika persegi daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Semalam, dua remaja yang mempunyai pertalian saudara itu dikhuatiri lemas pada 8 pagi ketika mandi-manda di pantai berkenaan sebelum operasi SAR dilancarkan.

Berita berkaitan:

Dua sekeluarga dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:43 AM