DATUK Patinggi Abang Johari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara SEDC dan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd, China. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Patinggi Abang Johari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara SEDC dan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd, China. FOTO Nadim Bokhari

Muhd Amirul Faiz Ahmad

[email protected]

SARAWAK bakal menerima tiga bas berkuasa hidrogen dari China menjelang Mac tahun depan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sektor pengangkutan awam di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata, kerajaan negeri bercadang menawarkan mod pengangkutan berkenaan secara percuma di Kuching sebagai memberi pendedahan kepada rakyat membabitkan kelestarian teknologi hijau.

“Sarawak mempunyai lebihan takungan air menjadikan negeri ini destinasi utama pembangunan kuasa hijau berteraskan hidrogen.

“Ya, air adalah penting, namun kandungan hidrogen juga penting. Ia signifikan untuk memacu pertumbuhan ekonomi masa depan, tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada bahan bakar fosil.

“Pembangunan kuasa berteraskan hidrogen berpotensi memberi impak kerana tarif air berada dalam kawalan kerajaan negeri, justeru memastikan kos sektor pengangkutan berkuasa hidrogen berada pada tahap rendah, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Foshan Feichi Automobile Manufacture Co Ltd (China) di Kuching, hari ini.

Dalam MoU terbabit, kerajaan negeri menerusi SEDC mencapai persetujuan melakukan pembelian tiga bas berkuasa hidrogen dengan penghantaran pertama dilakukan pada Mac tahun depan, termasuk perjanjian penyelenggaraan selepas jualan.

Bagaimanapun, nilai keseluruhan pembelian bagi ketiga-tiga aset itu tidak didedahkan.

SEDC dalam majlis berkenaan diwakili Pengurus Besarnya, Soedirman Aini, manakala Foshan diwakili Pengurus Besarnya, Jiang Yong.

Bas berkuasa hidrogen mampu bergerak sejauh 400 kilometer dengan pengisian penuh.

Kewujudan tenaga hijau itu mampu dihasilkan menerusi teknologi pengasingan dua atom hidrogen daripada satu atom oksigen.

Sarawak mempunyai visi mengoptimumkan kelebihan sumber airnya secara besar-besaran bagi tujuan ekonomi, termasuk hasrat menjadi pengeksport hidrogen pada masa depan.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata stesen mengisi hidrogen akan dibangunkan di Bintawa di sini, di bawah kawal selia Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Di Paris (Perancis), penggunaan bas hidrogen sudah dilaksanakan dengan stesen mengisi hidrogen diletakkan di kawasan tumpuan pelancong. Ini membuktikan penggunaan hidrogen selamat kepada orang awam dan kita mahu mendidik rakyat negeri ini berkenaan kepentingan tenaga hijau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 2:36 PM