Mohd Anwar Patho Rohman

KERAJAAN mendakwa hukuman sebat di khalayak ramai terhadap dua wanita kerana kesalahan melakukan hubungan seks luar tabie oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan, malah memberi gambaran buruk terhadap Islam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kabinet memilih supaya jika berlaku kes seumpama itu, pertimbangan perlu diberi mengikut keadaan tertentu kerana dalam Islam dibolehkan menjatuhkan hukuman lebih ringan sementara nasihat diberikan kepada pesalah.

Katanya, memandangkan kes berkenaan adalah yang pertama bagi pelaku, mereka perlu diberi nasihat dan tidak terus dihukum sebat sehingga seluruh negara mengetahuinya.

“Kita selalu, apabila memulakan sesuatu dengan ‘Bismillahirrahmanirrahim,’ (dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani) tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali.

“Kabinet berpendapat bahawa hukuman ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam. Ini memberi gambaran yang buruk kepada Islam.

“Sebab itu kami berpendapat kalau ada kes semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu, yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.

“Amat penting kita menunjuk agama Islam ini bukan agama yang bengis, yang suka menjatuhkan hukum yang berat yang mengaibkan orang. Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam.

“Ini adalah pendapat Kabinet dan kami berharap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa,” katanya dalam satu video yang dimuatkan dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 3 September lalu menjatuhkan hukuman sebat terhadap dua wanita yang dipercayai melakukan hubungan sesama jenis atau lesbian.

Hukuman yang dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu adalah pertama kali berlaku di Terengganu, disaksikan lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 7:21 PM