Mohd Izham Unnip Abdullah

Kota Kinabalu: Empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas di beberapa lokasi di negeri ini direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung pengeluaran lesen memandu tanpa mengikut prosedur kepada pemohon di Pulau Pinang.

Perintah dikeluarkan Majistret Afiq Agoes selepas keempat-empat suspek dibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah itu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Semua suspek berumur antara 26 hingga 38 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Sabah, kelmarin selepas diambil dari pejabat JPJ Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu iaitu tempat mereka bertugas.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin ketika ditemui berkata, perintah tahanan reman bermula semalam hingga 10 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kes itu dikendalikan pegawai penyiasat SPRM Pulau Pinang berdasarkan laporan mengenai aktiviti pengeluaran lesen memandu yang disyaki tidak mengikut prosedur dibuat di negeri berkenaan.

ANGGOTA  SPRM membawa empat pegawai JPJ untuk direman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
ANGGOTA SPRM membawa empat pegawai JPJ untuk direman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Difahamkan, keempat-empat suspek terbabit dalam kegiatan mengeluarkan lesen memandu kepada pemohon di Pulau Pinang dengan bayaran antara RM2,200 hingga RM3,000 bagi setiap permohonan.

Kegiatan mereka terbongkar apabila pemohon hairan proses pengeluaran lesen diurus di Sabah sedangkan permohonan dilakukan di Pulau Pinang sebelum perkara itu dilaporkan kepada SPRM.

Mohd Faliq berkata, siasatan lanjut perlu dijalankan bagi mengetahui bilangan lesen dikeluarkan menerusi kegiatan itu dan jumlah wang diterima suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 10:54 AM