FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hadzlihady Hassan


KANAK-KANAK perempuan orang kurang upaya (OKU) maut selepas terjatuh dari tingkat 12 dalam kejadian di Pangsapuri Puncak Terubong, Ayer Itam, Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa Lim Yi Xuan, 8, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, mangsa mempunyai masalah pembelajaran, namun dia seorang hiperaktif.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa mendakwa kanak-kanak berkenaan sebelum itu memanjat meja di tepi tingkap yang terbuka sebelum dia kemudian terjatuh.

“Polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi dan melihat seorang kanak-kanak dalam keadaan terbaring di parkir belakang blok pangsapuri terbabit.

“Pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 6:33 PM