NELAYAN terbabit dipercayai dilarikan dari lokasi mereka di Pulau Langgun, Langkawi.
NELAYAN terbabit dipercayai dilarikan dari lokasi mereka di Pulau Langgun, Langkawi.
Muhaamad Hafis Nawawi

EMPAT nelayan tempatan yang dibawa lari lapan lelaki selepas menyamun mereka di tengah laut berdekatan Pulau Langgun, di Langkawi, semalam, dilaporkan selamat dan berada di Balai Polis Satun, Thailand.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini, nelayan terbabit dilaporkan dalam keadaan selamat dan berada di Balai Polis Satun.

Menurutnya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk proses membawa pulang mangsa.

“Empat nelayan terbabit terdiri tekong bot, Abdul Rahman Omar, 42, dan tiga awak-awak iaitu Mad Ropi, 20-an; Hamzah Yaakob, 34, dan Malik Mat, 52.

“Keadaan mereka di sana selamat dan usaha membawa pulang sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.

NSTP semalam melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi sedang memburu lapan lelaki yang disyaki melarikan empat nelayan selepas menyamun mereka di tengah laut berdekatan Pulau Langgun.

Sebelum itu, PPM berjaya menyelamat tujuh nelayan dan menahan empat lelaki bersenjata dalam sebuah bot.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot pukat memberitahu botnya terbabit dalam kejadian samun.

Menurutnya, sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, PPM dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati dua bot nelayan tempatan ditahan 12 lelaki warga Thailand yang menaiki dua sampan ekor panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 12:53 PM