ZURIA menunjukkan foto anaknya. FOTO Supian Ahmad
ZURIA menunjukkan foto anaknya. FOTO Supian Ahmad
Faris Fuad

“HASIL laporan rawatan anak saya, Muhammad Emran (Amir Hairil Eianur), 8, dikeluarkan hospital kerajaan mendapati terhadap kesan lebam di bahagian tengkuk akibat hentakan.”

Demikian luahan ibu mangsa, Zuria Salmi Nik Mat, 36, dalam nada sebak ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya anaknya mengalami penyakit beguk, sebaliknya menegaskan mangsa ditampar oleh guru di sekolahnya, minggu lalu.

Zuria mendakwa, anaknya diberi cuti sakit dari Selasa lalu hingga hari ini dan berada dalam keadaan trauma selain tidak mahu meneruskan sesi pembelajaran di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, dia akan membuat satu pertemuan dengan guru besar sekolah itu minggu depan, untuk menguruskan proses pertukaran sekolah demi masa depan anaknya.

“Saya uruskan semua perkara itu dengan profesional dengan guru besar terbabit, saya ada tiga anak bersekolah di situ dan Muhammad Emran adalah paling bongsu.

“Saya berhasrat untuk menukarkan sekolah dua anak saya termasuk kakak Emran, Sarah Nur Saffiyah, berusia 10 tahun, masing-masing (Emran dan Sarah) berada di bawah jagaan saya secara sah.

“Yang sulung, Muhammad Syaheed Adib, 12, berada di bawah jagaan bekas suami, maka itu terserah kepada dia untuk mengambil keputusan terbaik berhubung isu berbangkit.

“Pada masa sama, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan termasuk yang memfitnah saya bagi membersihkan nama saya dan ahli keluarga lain,” katanya pada sidang media, hari ini.

Selain itu, Zuria mendakwa, dia mendapat maklumat daripada seorang pengguna Facebook yang juga dipercayai kakitangan di sekolah itu bahawa Emran antara empat murid yang ditampar guru berkenaan.

“Saya terkejut dengar daripada individu itu mereka ditampar kerana membuat bising di kawasan tangga sekolah.

"Ada situasi anak saya nakal, itu tidak dinafikan, malah saya galakkan dia ditegur dan dimarahi guru sekolah itu. Namun, hukuman yang diberikan perlu setimpal.

“Jangan sesekali aniaya anak orang, luluh hati seorang ibu mengetahui anaknya cedera ditampar guru,” katanya.

Kelmarin, polis mengambil keterangan guru yang didakwa menampar seorang murid tahun dua hingga cedera di bahagian tengkuk kanannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata, berdasarkan laporan polis dibuat guru itu, dia menafikan lebam itu akibat ditampar sebaliknya kesan itu dipercayai akibat penyakit beguk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 8:08 PM