KEADAAN kebakaran sebuah rumah kedai yang menjalankan perniagaan sewa peralatan majlis kenduri dalam satu kejadian di Taman Kenari,hari ini. Foto NSTP/Gambar ihsan JBPM.
KEADAAN kebakaran sebuah rumah kedai yang menjalankan perniagaan sewa peralatan majlis kenduri dalam satu kejadian di Taman Kenari,hari ini. Foto NSTP/Gambar ihsan JBPM.
Azahar Hashim


BALAI Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim menempuh tugas mencabar apabila berlaku dua kebakaran membabitkan rumah kedai dan sebuah rumah dalam tempoh dua jam, hari ini.

Kejadian pertama berlaku jam 12 tengah malam membabitkan sebuah rumah kedai setingkat di Taman Kenari sebelum berlaku kebakaran rumah di Taman Makmur, Lunas pada jam 2 pagi.

Ketua BBP Kulim Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan pertama jam 12.06 tengah malam lalu dua jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Kecemasan Penyelamat danPerubatan (EMRS) bersama 10 anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, pihaknya turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan Kulim dengan 10 anggota ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba anggota bomba melakukan tindakan pemadaman api yang berjaya dikawal 13 minit kemudian.

“Kedai setingkat itu menjalankan perniagaan sewa peralatan kenduri seperti khemah, meja dan lain-lain musnah 80 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Yusri berkata, bagaimanapun ketika sedang bersiap untuk pulang ke balai, pihaknya menerima satu lagi panggilan pada jam 2.17 pagi mengenai kebakaran sebuah rumah.

“Selepas menerima panggilan kecemasan itu, kami bergegas ke tempat kejadian dan turut dibantu anggota dari BBP Kulim Hi Tech.

“Api dapat dikawal jam 2.35 pagi dan bahagian dapur rumah itu musnah 20 peratus,” katanya.

Katanya, punca kejadian dan nilai kerugian kedua-dua kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 3:13 PM