PEGAWAI bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran di tingkat bawah sebuah kedai di Jalan Tandop yang terbakar awal pagi tadi. Foto STR/ZULIATY ZULKIFFLI
PEGAWAI bomba menjalankan siasatan di lokasi kebakaran di tingkat bawah sebuah kedai di Jalan Tandop yang terbakar awal pagi tadi. Foto STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA tersedar daripada tidur sebaik terdengar bunyi pintu bilik asrama diketuk bertalu-talu sebelum diberitahu bangunan pasar raya di tingkat bawah terbakar.”

Begitu kata Siti Nuraishah Mohd Fisol, 27, yang kemudian berlari ke bilik sebelah untuk mengejutkan dua rakannya, Nur Ezzati Shafie, 21, dan Nurul Shafirah Abd Aziz, 21, bagi menyelamatkan diri.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi hari ini, tingkat bawah pasar raya di Jalan Tandop, Alor Setar musnah terbakar dipercayai akibat berlaku litar pintas di bangunan berkenaan.

Menurut Siti Nuraishah, dia dan tiga rakannya termasuk lelaki warga Nepal, Tilak Bahadut, 22, sempat keluar dengan membuka pintu belakang untuk menyelamatkan diri.

Katanya, ketika asap tebal sudah memenuhi ruang, namun mereka tetap berusaha dan hanya sempat membawa telefon bimbit sahaja.

“Sebaik turun ke bawah, baru kami nampak api di bahagian belakang bangunan dan pada masa sama anggota bomba sedang memadam api.

“Bagaimanapun, kami bersyukur terselamat dalam kebakaran ini dan tingkat dua asrama yang kami tinggal juga tidak terbakar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.28 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan Alor Setar dihantar ke lokasi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat manakala tingkat dua pula dijadikan tempat tinggal pekerja.

“Bagaimanapun, empat pekerja yang berada di asrama berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan anggota bomba dan api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:41 AM