SIDANG media oleh Pakatan Harapan sebelum ini. Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
SIDANG media oleh Pakatan Harapan sebelum ini. Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Iskandar Ibrahim


KERAJAAN pimpinan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai 'kakistocracy' yang dikuasai individu tidak bertanggungjawab kerana gagal melaksanakan janji dalam manifesto mereka.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat boleh menilai kebertanggungjawaban kerajaan terutama 10 janji ditawarkan dalam 100 hari yang bakal berakhir tidak lama lagi.

“Selama 100 hari, ia diselubungi kebobrokan, ‘kakistocracy’ tahap tertinggi, di mana kononnya manifesto bukan kitab suci. Ini menghina pengundi dan rakyat.

“Hal sedemikian membuktikan bahawa sejak dari awal lagi, mereka tiada hasrat menunaikan janji manifesto, malah ia satu penipuan terhadap pengundi secara terancang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, sejak mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN), PH secara bertali arus menyerang pentadbiran kerajaan terdahulu dan bukannya berusaha menunaikan janji.

“Ini ditegur oleh Naib Presiden PKR sendiri, Rafizi Ramli. PH tidak jemu memainkan sentimen bahawa punca utama PH tidak dapat menunaikan janji disebabkan salah tadbir kerajaan terdahulu.

“Rakyat sudah mual dengan alasan dan sandiwara sebegini. Berjanji memang mudah kerana lidah tidak bertulang tapi menunaikan janji bukan semudah melafazkannya dan perbuatan memungkiri janji amat dilarang oleh Allah SWT,” katanya.

Justeru, katanya, PH perlu menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan di mana keutamaannya adalah mensejahterakan rakyat demi agama, bangsa dan tanah air tanpa terikut-ikut rentak DAP yang kuat memanipulasi keadaan dengan ideologinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:08 AM