KEADAAN mangsa.
KEADAAN mangsa.
Ibrahim Isa

“PESANAN penduduk kampung supaya tinggalkan kereta jika berlaku kemalangan dengan gajah menyelamatkan nyawa saya, kalau tidak sudah pasti saya juga dipijak gajah yang bertindak memijak kereta saya seperti melepaskan geram apabila saya terlanggar haiwan itu," kata pemandu traktor, Mohd Khairol Abdul Karim.

Mohd Khairol, 33, berdepan kejadian mencemaskan apabila kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza dipandunya dipijak lebih seekor gajah selepas dia terlanggar kaki kiri seekor daripada haiwan berkenaan, di Batu 8, Jalan Mawai, Kota Tinggi, malam semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Padang, Tanjung Sedili selepas melawat anak keempat yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, sejak empat hari lalu.

“Apabila tiba di lokasi dan menuruni bukit, tiba-tiba saya nampak paha gajah namun tidak sempat berbuat apa-apa. Saya nekad memperlahankan kenderaan, namun terlanggar kaki kiri belakang haiwan itu, ketika itu kaca bertaburan dan apabila kakinya diangkat kereta terus menggelongsor ke bawah.

"Saya memberhentikan kenderaan di kiri bahu jalan dan teringat pesanan penduduk kampung supaya melarikan diri, saya keluar dan berlari kira-kira 50 meter sambil meminta bantuan pengguna lain," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 15 minit kemudian ketika beberapa pengguna mula memberikannya bantuan beberapa gajah dipercayai kumpulan gajah sama kembali dan menyerang kenderaannya.

Katanya, semua pengguna hanya membiarkan gajah itu melepaskan geram sebelum ia beredar ke ladang sawit di kawasan berhampiran.

“Sebelum ini, saya tidak pernah melihat gajah melintas di kawasan itu, ia cuma melintas di kawasan lain kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, saya terpaksa menerima hampir 20 jahitan di kepala, pipi, kelopak dan atas mata serta bibir kiri.

“Selain itu, bahu, tangan dan kaki kiri bengkak, buat masa ini saya masih belum larat untuk melawat anak dan isteri di HSI kerana masih lemah, namun akan ke sana apabila badan kembali sihat," katanya.

Menurutnya, lega kerana hanya cedera ringan dan tidak salahkan haiwan itu, namun berharap pihak berkuasa akan menempatkan gajah di tempat lebih sesuai.

Katanya, masalah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan ia mula membahayakan nyawa pengguna jalan berkenaan.

Berita berkaitan:

Gajah naik minyak pijak MPV

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 8:36 PM