DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4,000 daripada seorang peniaga di Kuala Lipis, dua tahun lepas. Foto BERNAMA
DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerima rasuah RM4,000 daripada seorang peniaga di Kuala Lipis, dua tahun lepas. Foto BERNAMA
T N Alagesh


DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini terhadap dua tuduhan menerima rasuah daripada seorang peniaga rokok seludup di Lipis, pada tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Shafiq Kharidan dan Koperal Muhamad Norlizam Ali membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima wang suapan RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya serta rakannya kerana memiliki rokok seludup di Jalan FELDA Kechau, Lipis pada jam 10 malam, 23 September 2016.

Bagi tuduhan kedua pula, mereka didakwa menerima suapan RM1,000 daripada individu yang sama dengan kesalahan yang sama di Restoran Capaty Curry House, Taman Cahaya, Lipis, jam 10.30 malam 24 September 2016.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta (574) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Khairulhazman Ghazali yang turut memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Saifuldin Ab Rahman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu bayaran ikat jamin dikurangkan dengan alasan pendapatan bulanan di bawah RM1,100 dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mohd Ghazali kemudian mengarahkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang bagi dua tuduhan itu dan menetapkan 14 September ini bagi tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 2:16 PM